Insyaallah, Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Dr Hafidzi Mohd Noor telah mengesahkan kehadiran beliau ke Karnival Pendidikan AMIR (AMIR Education Fair) untuk menyampaikan slot Syria dan MyGMJ.
Gambar : Dr Hafidzi Mohd Noor |
Jadi, jangan lepaskan peluang bersama tokoh yang julung-julung kalinya tiba ke Jepun.
Jumpa anda di sana!!!
Perutusan Rasmi Pengerusi Aqsa Syarif (sumber : www.aqsasyarif.org.my)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
والصلاة والسلام على رسول الله الأمين وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم باحسان الى يوم الدين
Aqsa Syarif yang diluluskan pendaftarannya pada 4 Februari 2010, telah melangkah jauh sejak setahun yang lalu di dalam menggerakkan usaha-usaha ke arah pembebasan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa, Al-Haram Asy-Syarif. Kepimpinan yang diterajui oleh Pengerusi yang pertama, Al-Fadhil Al-Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif serta disokong oleh pengurus-pengurus dan pasukan aktivisnya di semua 14 negeri dan 67 daerah, telah berjaya membawa Aqsa Syarif ke satu mercu tanda yang bermakna dalam melakar perjuangan pembebasan Palestin di tanah air Malaysia yang makmur dan tercinta ini.
Maka, seluruh warga pendokong Aqsa Syarif bersama sekalian rakyat Malaysia wajib bersyukur atas anugerah Allah SWT yang amat besar ini. Pencapaian-pencapaian Aqsa Syarif buat setahun yang lalu, terutamanya penglibatan secara langsung di atas kapal Mavi Marmara dalam Freedom Flotilla serta penglibatan ‘Volunteer Corps’ Aqsa Syarif dalam Land Convoy VP5 di bawah jenama Aqsa2Gaza (A2G), adalah isyarat bahawa Aqsa Syarif tidak akan memperlahankan usaha menggerakkan tulang empat kerat, potensi minda, daya juang yang kreatif, pengumpulan dana dan jalinan kerjasama dengan semua pihak demi pembebasan bumi Palestin tercinta.
Aqsa Syarif adalah satu jelmaan baru yang terbit dari sumur perjuangan seusia perjuangan membebaskan bumi Palestin. Ia bergerak di atas batu tanda yang terbina oleh wadah-wadah pelopor sejak lebih suku abad yang lalu dalam konteks era mahasiswa 70-an. Bahkan lebih jauh lagi, Aqsa Syarif mengambil semangat dari perjuangan ulama’ dan umat Islam di tanah air kita yang turut mempertahankan Khilafah Uthmaniah dan bentengnya di Palestin seawall tahun 1915 sebelum bumi Palestin dirampas daripada umat Islam pada tahun 1917.
Aqsa Syarif mengurus pelbagai sumber, kreativiti dan komitmen rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khasnya, dengan seoptima mungkin bagi melaksanakan impian seluruh pejuang sebagaimana yang diterjemahkan di dalam visi dan misi Aqsa Syarif. Dengan berpandukan kepada 6 susuk Aqsa Syarif iaitu TERAPI (Terbuka, Excellent Delivery, Rujukan, Amanah, Profesional & Prihatin), kami berharap dokongan dari rakyat Malaysia akan terus mantap bersama derap langkah Aqsa Syarif di medan juang yang menjanjikan ujian yang getir serta ganjaran yang jauh lebih besar.
Setelah bersyukur ke hadrat Ilahi, Aqsa Syarif dan seluruh jenteranya mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada rakyat Malaysia dan umat Islam kerana terus memberikan kepercayaan kepada Aqsa Syarif untuk membantu dan membela rakyat Palestin melalui pelbagai projek yang telah dilancarkan dan akan terus dikembangkan pada masa hadapan, Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PROF MADYA DR HAFIDZI MOHD NOOR
Pengerusi
Aqsa Syarif Berhad