2012, tanpa
disedari sudah 30 tahun berlalu. Namun apakah rakyat Malaysia merasai adanya
perubahan positif berlaku kepada tanah air dari polisi ini? Benarkah graduan
lepasan Jepun boleh menjadi impak kepada pembangunan negara khususnya dalam
bidang kejuruteraan? Berhasilkah usaha polisi ini menghasilkan produk insan
yang mampu men’jepun’kan etika kerja rakyat Malaysia?
Memang tidak
dapat dinafikan Jepun adalah sebuah negara yang terkenal bukan sahaja dari segi
teknologinya, malah budaya dan semangatnya. Lihatlah bagaimana Jepun bangkit
semula setelah setahun berlalunya bencana tsunami Mac 2011 sepertimana mereka
bangkit selepas tragedi pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki 1945. Namun dari
sudut lain pula, pendirian politik Jepun yang sering mengambil dasar berkecuali
dalam isu-isu global khususnya isu terkini di timur tengah, menyebabkan
kurangnya maklumat diperoleh melalui saluran media Jepun. Malah media massa
Jepun yang bebas juga kurang mendedahkan laporan mengenai isu-isu sebegini,
mungkin disebabkan pengaruh media besar Amerika, ataupun atas faktor picisan,
yakni kekangan bahasa Inggeris.
Oleh hal yang
demikian, masyarakat di Jepun termasuk warga Malaysia khususnya, kurang
mendapat pendedahan yang jelas berkenaan isu ini dari media Jepun, sebaliknya
hanya bergantung kepada maklumat dan berita ‘online’ dari luar yang terhad. Perihal ini
boleh menjadi kudis yang perlahan-lahan membentuk lapisan graduan Jepun yang
tidak peka dan kurang sensitif terhadap isu-isu semasa, hanyut dalam tsunami
hiburan Jepun.
Objektif
Jepun mempunyai
nilai budaya yang sangat tinggi etikanya, bahkan fasilitinya juga dikagumi
dunia. Amatlah sayang sekiranya masyarakat Malaysia yang pernah berkhidmat di
Jepun khususnya, pulang ke Malaysia tanpa membawa pulang sekali nilai etika
positif ini. Begitu juga sebaliknya, bangsa Jepun terutama golongan muda yang sudah
tidak sensitif dengan isu antarabangsa, malah ketidakpedulian terhadap masalah
sosial di negara sendiri akan sedikit sebanyak turut mempengaruhi warga
Malaysia di Jepun, yang asalnya memang gemar menjaga tepi kain orang.
Demi untuk
membangunkan modal insan yang bukan sahaja celik ilmu, bahkan celik isu,
karnival ini menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai bersama :
1) Memperbaharui niat dan memperjelaskan
matlamat keberadaan warga Malaysia di Jepun, seterusnya memberi nafas baru
kepada polisi Dasar Pandang ke Timur.
2) Memberi panduan kepada pelbagai
lapisan masyarakat Malaysia dari kanak-kanak hingga dewasa, bujang dan
berkeluarga, belajar mahupun bekerja, tentang survival di Jepun, dan juga masa
depan di Malaysia setelah pulang.
3) Memberi pendedahan secara langsung
tentang isu-isu semasa dari tokoh-tokoh jemputan terkemuka yang arif akan
isu-isu berkenaan.
4) Membuka peluang kepada masyarakat
Malaysia di Jepun untuk bukan sahaja menjadi tempat berkongsi pendapat, malah
berkumpul, bermesra dan menambah kenalan, reunion bagi yang berjauhan di Jepun
dan sebagainya dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan.